Jack Ma merupakan nama besar di sebalik AliBaba, syarikat yang menguasai gedung beli belah secara atas talian terbesar dunia.
     Menurut Bloomberg, anggaran nilai, net worth, Jack Ma mencecah sehingga 50.6 billion dollar.
     Jack Ma membesar di Hangzhou China dalam keluarga yang miskin dan serba kekurangan. Apa yang menarik, beliau juga mengaku pernah mencuba sehingga 30 permohonan kerja dan semuanya ditolak!
     “Saya rasa semua orang boleh berjaya, jika anda betul-betul buat dengan bersungguh-sungguh,” Kata Jack Ma sewaktu menghadiri jemputan sebuah Konvensyen Teknologi di Paris.
     Jack Ma memulakan perniagaan ketiganya, AliBaba di apartment beliau pada tahun 1999 dengan tiada modal dan hanya dengan bantuan rakan sepasukan yang kecil.
     “Kami ingin buktikan. Jika Jack Ma dan pasukannya boleh berjaya, bermaksud 80 peratus manusia dalam dunia boleh berjaya”
     Dan kini AliBaba mempunyai aset sehingga 180 billion dollar. Berikut merupakan tiga kunci yang diberikan Jack Ma untuk anda berjaya dalam kerjaya dan kehidupan anda. 

BERFIKIR DENGAN CARA BERBEZA
Jika ada yang mengkritik anda, renungkannya dan terus fikirkan tentang masa depan anda. Jika anda tiada duit, tiada kemampuan, tiada sokongan yang kuat, satu perkara yang boleh anda tumpukan adalah dengan melihat masa hadapan dengan cara yang berbeza.
     Ketika mula-mula Jack Ma menggunakan internet pada tahun 1995, dia melakukan carian secara online dengan kata kunci ‘China’, namun tiada hasil carian dipaparkan. Tiada langsung data mengenai China di internet pada tahun tersebut.
     Lantas beliau membina sebuah laman sesawang berkaitan China dan kemudian akhirnya menjadi pencetus terbinanya laman dagangan atas talian bergelar AliBaba.
     “Orang lain mungkin fikir berbeza. Namun saya cuba untuk fikir dengan cara lain. Saya percaya pada masa hadapan. Dan bila anda percaya pada masa hadapan anda, anda akan cuba buat sesuatu.
     Andainya ramai orang tidak percaya anda boleh buat, namun anda tetap percaya boleh melakukannya, dan anda dapat buktikan anda mampu untuk buat, itulah peluang anda untuk berjaya,” Kata Jack Ma.

JADILAH SEPERTI FORREST GUMP, TIDAK BERPUTUS ASA
Jack Ma pernah gagal sewaktu di sekolah rendah dan menengah. Namun akhirnya berjaya menamatkan pengajian di Institut Perguruan Hangzhou dalam Pendidikan Bahasa Inggeris. Itupun setelah dua kali gagal dalam Peperiksaan Kemasukan ke institut tersebut.
     Ada satu kisah menarik apabila Jack Ma pernah memohon kerja di restoran makanan segera terkemuka, KFC. Daripada 24 pencari kerja yang memohon, kesemuanya berjaya mendapat kerja di restoran terbabit melainkan Jack Ma sahaja yang gagal.
     Empayar AliBaba pada permulaannya juga telah terpaksa melalui fasa yang sukar.
Pada tahun 2001, Jack Ma telah gagal dalam usahanya untuk mendapatkan pelabur. Namun Jack Ma tidak berputus asa. Pada 2005, Yahoo, gergasi teknologi pada waktu itu telah menjadi pemegang taruh terbesar dalam AliBaba.
     “Kuncinya di sini, jangan biarkan kekecewaan membelenggu anda terlalu lama,” Kata Jack Ma. “Sudah tentu anda akan sedih apabila ditolak. Abaikannya, tidur dengan nyenyak, bangun dan cuba untuk usaha lagi. Sama seperti Forrest Gump, jangan berputus asa”

GUNAKAN KEMAHIRAN DAN KEPAKARAN YANG ANDA MILIKI
“Saya tidak tahu apa-apa tentang teknologi. Saya tidak tahu apa-apa tentang pemasaran. Saya juga tidak tahu tentang sistem pengurusan perniagaan. Apa yang saya tahu dan mahir hanyalah menjalinkan hubungan sosial,” Kata Jack Ma.
     Jadi beliau menggunakan kebolehan yang dimiliki tersebut untuk memberi motivasi dan membakar semangat pekerjanya lantas mereka meningkatkan kualiti kerja masing-masing.
     “Untuk bisnes yang berjaya, fokuskan pada pelanggan dan fokuskan pada pekerja sahaja. Tak perlu fikirkan tentang pelabur kerana pelabur datang dan pergi pada bila-bila masa. Apabila anda fokus pada pelanggan dan pekerja anda, mereka gembira. Mereka kerja dengan ceria dan anda akan menang juga. Ianya semudah itu,” Kata Jack Ma.